KUALA KANGSAR: Selepas lebih seminggu kemelut politik peringkat Persekutuan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu muncul kali pertama dalam majlis rasmi sebagai Menteri Besar Perak.
Ini berikutan Kerajaan Negeri Perak dijangka mengalami perubahan selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Beberapa EXCO Perak juga menyatakan kegusaran kerana mereka tidak pasti keberadaan Ahmad Faizal dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU dikatakan menarik diri daripada kerajaan PH peringkat Perak.
Ahmad Faizal mengiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mencemar duli merasmikan Hari Landskap Negara peringkat Perak di Laman Budaya, di sini, hari ini.
Ini membayangkan beliau mungkin mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk mengetuai semula kerajaan Perak selepas wakil rakyat UMNO dan PAS mendakwa memiliki kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.