Ahad, 1 March 2020 | 11:18am
Muhyiddin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara untuk ke Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pagi tadi. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Muhyiddin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara untuk ke Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pagi tadi. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Tinggal 2 MP BERSATU sokong Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu melalui proses pemilihan semula parti jika beliau ingin kembali menjadi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata mengikut perlembagaan parti, mereka yang meletak jawatan atau diberhenti perlu dipilih semula melalui pemilihan parti.

“Sepatutnya tidak ada isu yang perlu digembar-gemburkan kerana Dr Mahathir sendiri yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BERSATU.

“Mengikut perlembagaan parti selepas beliau meletak jawatan, untuk dilantik semula perlu melalui proses pemilihan dalam parti semula.

“Sekarang ini Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memangku jawatan Pengerusi itu dan sebab itu saya minta Setiausaha Agung (Datuk Marzuki Yahya) berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ahli parti,” katanya ditemui di perkarangan rumah Muhyiddin, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kenyataannya berkaitan jawatan Pengerusi BERSATU dan beberapa isu dilihat melanggar perlembagaan parti.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Presiden akan menggantikan jawatan Setiausaha Agung sekarang yang melanggar perlembagaan parti.

“Isu enam Ahli Parlimen menentang Presiden juga tidak benar sebaliknya hanya tiga orang sahaja iaitu Dr Mahathir, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kita hormat dengan prinsip mereka namun ahli diminta bertenang dan kita akan perbaiki bagi merapatkan saf kembali untuk membina negara,” katanya.

BERSATU mempunyai 36 Ahli Parlimen (MP) termasuk 10 yang melompat daripada PKR baru-baru ini.

Beliau juga akan mencadangkan EXCO ARMADA Nasional, Muzzammil Ismail memangku jawatan Ketua ARMADA jika benar Syed Saddiq melanggar perlembagaan parti sebelum pemilihan baru diadakan.

“Berhentilah berpolitik kerana kita nak bangunkan negara selepas rakyat resah dalam seminggu ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Amiruddin Hamzah yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, menolak dakwaan Redzuan itu sambil menegaskan beliau setia bersama kepemimpinan Dr Mahathir.

“Saya menyanggah kenyataan Pak Wan (Redzuan), sebaliknya setia di belakang kepemimpinan Tun Mahathir.

“Saya tidak akan mengkhianati mandat rakyat dan tidak akan bersekongkol dengan mereka,” katanya.

Berita Harian X