Isnin, 24 Februari 2020 | 5:05pm

'Tunggu Mukhriz balik'

ALOR SETAR: Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah akan menunggu kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mengumumkan perubahan dalam kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Halimaton Saadiah Saad, berkata Menteri Besar ada menghubungi barisan Exco negeri melalui kumpulan WhatsApp semalam, dan meminta mereka bekerja seperti biasa dan bersabar.

“Semalam dalam kumpulan WhatsApp, Mukhriz meminta kami bersabar serta kerja seperti biasa...beliau beritahu akan kembali ke Kedah untuk berjumpa bersama kepemimpinan Exco.

“Jadi saya hanya mengikut arahan ketua saya, jika BERSATU sudah keluar Pakatan Harapan (PH), automatik saya sendiri keluar, saya masih di Wisma Darul Aman dan bekerja seperti biasa mengikut jadual,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai status kerajaan negeri selepas BERSATU umum keluar PH, Halimaton yang juga Ketua Srikandi BERSATU Kedah berkata, pihaknya akan menunggu pembentukan kerajaan baharu di peringkat Pusat.

Katanya, di Kedah gabungan BERSATU, PAS dan UMNO sudah cukup untuk menubuhkan kerajaan negeri berikutan mempunyai 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“PAS mempunyai 15 kerusi DUN, BERSATU enam kerusi dan UMNO dua kerusi.

“Itu belum termasuk kerusi PKR yang sebahagiannya juga pro kumpulan Datuk Seri Azmin Ali,” katanya.

Terdahulu, selepas pengumuman meletak jawatan Perdana Menteri tengah hari tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad turut melepaskan kedudukan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Malah, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan parti berkenaan keluar.

Dr Mahathir adalah antara pengasas dan Pengerusi BERSATU yang juga Pengerusi PH.

Berita Harian X