Isnin, 24 Februari 2020 | 11:37am
PAKATAN Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018 - Foto Adzlan Sidek
PAKATAN Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018 - Foto Adzlan Sidek

Politik Melayu tunjang di Malaysia

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik semasa yang menyaksikan kerjasama di antara parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, PAS dan sebahagian pemimpin PKR membuktikan politik Melayu tunjang kepada politik negara ini.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata walaupun negara ini mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum, namun hakikat itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Kita mendapat mesej yang jelas melalui apa yang berlaku. Soalnya, kepentingan Melayu Islam di negara ini jangan diambil mudah kerana bila mereka rasa diancam, mereka boleh bersatu,” katanya kepada BH.

Pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM itu berkata, kenyataan berkenaan juga perlu diakui oleh DAP yang disifatkan beliau sudah ‘tepu’ dari segi mendapat sokongan kaum Cina.

“Kalau mahu terus bertahan, mereka mesti mendapat sokongan Melayu dan menerima bahawa politik Melayu adalah tunjang kepada politik Malaysia, dengan konsep Melayu dan Bumiputera majoriti di negara ini,” katanya.

Mohd Izani berkata, beliau bagaimanapun yakin barisan pentadbiran yang akan dibentuk kelak akan terus menyerlahkan semangat perkongsian kuasa, dengan mengambil kira latar belakang kemajmukan rakyat di negara ini.

UNDI Melayu memainkan peranan utama dalam politik negara ini - Foto Saifullizan Tamadi
UNDI Melayu memainkan peranan utama dalam politik negara ini - Foto Saifullizan Tamadi

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata perkembangan politik yang berlaku ketika ini sesuatu yang mengejutkan kerana keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) masih hangat dibincangkan.

“Kita tahu peralihan kuasa ini akan berlaku tetapi tidaklah kita jangka secepat ini, terutama selepas hasil mesyuarat Majlis Presiden PH, Jumaat lalu memutuskan peralihan kuasa hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November ini.

“Barangkali apa yang berlaku pada mesyuarat itu, Dr Mahathir dikatakan didesak (untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa) menyebabkan beliau merasakan perlu ada perubahan dalam politik tanah air,” katanya.

Sivamurugan berkata, mungkin ramai yang mempersoalkan usaha ke arah membentuk kuasa baharu itu kerana dikatakan menyalahgunakan mandat oleh rakyat tetapi bagi pemimpin yang terbabit, mandat itulah yang digunakan untuk menentukan hala tuju pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Cuma dalam keadaan sebegini, adakah polemik akan berterusan? Hala tuju negara akan berubah? Bagaimana percaturan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai Perdana Menteri kelapan sebelum ini?

“Selain itu, adakah sejarah 1998 akan berulang dengan penyokong Datuk Seri Anwar akan turun ke jalan?” katanya.

Sivamurugan berkata, beliau juga percaya, Dr Mahathir akan menangani isu perkongsian kuasa dengan baik dengan mengambil kedudukan pelbagai kaum, serta Sabah dan Sarawak.

“Sudah pasti gabungan baharu ini tidak boleh terikat dengan manifestasi idelogi parti masing-masing. Ia perlu ada perubahan kerana perpecahan dalam PH sebelum ini disebabkan pertembungan dalaman dan percakaran itu tidak harus berulang.

“Rakyat sudah bosan dengan politik sebegini. Mereka mahu isu utama iaitu ekonomi dan pembangunan negara diberikan tumpuan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X