Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:32pm
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Usul undi percaya PM demi pelihara kepentingan negara - PAS

KUALA LUMPUR: Usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang akan dibawa PAS pada sesi Dewan Rakyat bulan depan, bertujuan memelihara kepentingan Malaysia.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, menjelaskan rakyat kini melihat berlaku krisis kesepakatan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) yang mencerminkan ketidakstabilan dalam pemerintahan.

PAS pula melihat parti dalam PH tidak menunjukkan komitmen untuk membantu menguruskan negara sebagai sebuah kerajaan, sebaliknya bersaing antara satu sama lain.

“Pendirian PAS berhubung sokongan kepada Dr Mahathir mempunyai asas tertentu, termasuk keutamaan untuk menjaga kemaslahatan negara dan rakyat.

“Lebih membimbangkan, apabila wujud pihak tertentu dalam kerajaan yang memberi tekanan untuk menyegerakan peralihan kuasa.

“Justeru, PAS mengambil langkah terkehadapan dalam menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini dilaporkan berkata parti itu akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir, sebagai usaha menangani kemelut peralihan kuasa.

Tuan Ibrahim juga menyifatkan peralihan kuasa pada ketika ini dikhuatiri akan mengganggu kestabilan politik dan ekonomi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut dilaporkan berkata partinya juga berkemungkinan menyokong usul undi percaya itu.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PAS cuba memecahbelahkan PH menerusi cadangan usul itu.

Hari ini, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tindakan PAS itu pelik dan tidak berniat baik apabila mahu mengemukakan usul berkenaan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, muncul dakwaan sebahagian Ahli Parlimen kerajaan turut diminta menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepimpinan Dr Mahathir hingga habis penggal.

Kamaruzaman menambah, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, peletakan dan pemilihan Perdana Menteri perlu mendapat sokongan semua Ahli Parlimen terutama dari pihak kerajaan.

Berita Harian X