Khamis, 6 Februari 2020 | 6:34pm

Mesyuarat MKT UMNO dijangka hangat

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, esok dijangka ‘hangat’ kerana akan menjadi medan ahli mendapat penjelasan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung lamaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada UMNO bagi membentuk pakatan politik baharu.

Ia susulan masih ada sebilangan Ahli MKT yang ‘kabur’ dengan konsep atau bentuk kerjasama ditawarkan BERSATU sama ada satu pakatan baharu bertujuan menamatkan pelan peralihan kuasa dirancang Pakatan Harapan (PH) atau mempunyai agenda lain.

Seorang MKT yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, mesyuarat esok adalah platform tepat bagi ahli mendapatkan penjelasan mengenai soal ‘lamaran’ BERSATU kerana ada dalam kalangan ahlinya yang masih kabur mengenai hal itu.

“Mesyuarat itu penting untuk saya mendapatkan penjelasan sebenar mengenai apa yang berlaku kerana ‘lamaran’ itu pun sebenarnya masih kabur kerana tiada ‘hitam putihnya’.

“Saya pun tidak akan guna perkataan ‘lamaran’ kerana saya pun tidak tahu. Walau apa pun, ia (perkara dibincang) mungkin akan menjadi sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Rundingan rahsia di antara BERSATU dan UMNO untuk membentuk pakatan baharu terdedah selepas Lokman dalam hantaran video di Facebook mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baharu’ ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, Isnin lalu.

Susulan itu, Lokman dikecam kepemimpinan UMNO yang menganggap tindakannya mendahului keputusan parti dan menghina Presiden.

MKT UMNO pada 24 Julai tahun lalu membuat keputusan, hanya Presiden parti diberikan mandat untuk mewakili UMNO jika ada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti itu dengan syarat tanpa penyertaan DAP.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegaskan perkhabaran kononnya UMNO akan dilamar BERSATU untuk bersama-sama mengukuhkan kepentingan politik Melayu perlu dibincang dan dibahas secara mendalam dan jujur.

Mesyuarat MKT UMNO dijadual bermula pada jam 3.30 petang esok di Menara Dato’ Onn dan sidang media dijangka pada berlangsung pada jam 5.30 petang.

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO diadakan pada sebelah pagi esok.

Seorang lagi ahli MKT memberitahu, soal ‘lamaran’ BERSATU itu sudah diketahui umum, namun agenda utama yang UMNO mahukan daripada kerjasama itu jika ia menjadi kenyataan ialah usaha membela dan memartabatkan kedudukan orang Melayu, Bumiputera, agama Islam dan institusi Raja-raja seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Aspek yang dipersoalkan ialah bagaimana kerjasama atau pakatan baharu itu mampu membela dan memelihara Melayu, Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan termasuk entiti ditubuhkan selama ini bagi meningkatkan ekonomi umat Islam juga mungkin akan dibincangkan.

“Ia termasuk aspek bagaimana kerjasama itu dapat membantu mewujudkan kerajaan lebih stabil, mampu mencipta kemakmuran kepada rakyat dan menarik pelabur.

“Ia susulan, sengketa dalaman PH yang berlarutan terutama membabitkan pemimpin parti sekutu pakatan itu menyebabkan kerajaan tidak dapat menumpukan usaha pembangunan ekonomi dan mewujudkan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.

Berhubung kemungkinan MKT akan membincangkan tindak tanduk Lokman yang membocorkan rahsia mesyuarat dalaman parti, beliau berkata lazimnya perkara itu akan diserahkan kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut.

Katanya, penularan novel coronavirus dan langkah kerajaan menangani penularan penyakit itu juga dijangka turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Berita Harian X