Isnin, 3 Februari 2020 | 7:35pm
Ahli MPT BERSATU, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi. - NSTP/Owee Ah Chun
Ahli MPT BERSATU, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi. - NSTP/Owee Ah Chun

Jawatan patut terbuka untuk dicabar - Akhramsyah

KUALA LUMPUR: Tiga jawatan utama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sepatutnya terbuka untuk dicabar pada pemilihan parti, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Beliau menegaskan, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, adalah tidak wajar untuk mana-mana ahli mengecualikan jawatan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden daripada dipertandingkan.

Katanya, sebarang syor yang menjurus ke arah menghalang jawatan tertinggi parti dicabar, tidak akan membantu menyuburkan demokrasi dalam pemilihan BERSATU.

“Perkara ini terpulang kepada ahli. Jika tiada sesiapa mencabar, penyandangnya akan kekal tanpa bertanding. Namun, saya tidak bersetuju dengan sebarang arahan atau peraturan melarang jawatan tertentu dipertandingkan.

“Sebabnya, kita tidak mahu budaya yang menjadikan UMNO pincang sebelum ini berjangkit kepada BERSATU. Jika akar umbi berasakan pemimpin teratas tidak wajar dicabar, terpulang sekiranya ada usul jawatan itu tidak dipertandingkan.

“Namun bagi saya, tidak wajar jawatan dalam parti termasuk tiga jawatan tertinggi, dihalang daripada dicabar,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas keputusan BERSATU Terengganu yang sebulat suara bersetuju supaya tiga jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

Hari ini, BERSATU Sabah turut menyokong tiga jawatan utama MPT parti meliputi Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden, dikekalkan.

Mesyuarat BERSATU peringkat cawangan akan bermula 15 Februari hingga 29 Mac depan, manakala mesyuarat peringkat bahagian pula pada 18 April dan Perhimpunan Agung Tahunan dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 28 Jun.

Akhramsyah berkata, hak ahli dan pemimpin untuk mencabar jawatan dalam BERSATU tidak patut dihalang kerana perlembagaan parti membenarkan pertandingan ketika pemilihan.

“Jika menggubal perlembagaan untuk memastikan demokrasi subur, kita tidak boleh menghalang atau menyekat mana-mana jawatan dalam parti daripada dipertandingkan.

“Kita bersusah payah menggubal perlembagaan yang mana ada had tempoh berapa penggal penyandang boleh kekal dalam jawatannya.

“Penyandang jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden boleh selama dua penggal saja, manakala Presiden dan Pengerusi hanya boleh menyandang selama tiga penggal.

“Ini bermakna kita patut memberi ruang jika ada yang hendak bertanding. Namun kalau akar umbi rasa tidak perlu bertanding, maka tidak perlulah,” katanya.

Berita Harian X