Isnin, 3 Februari 2020 | 4:18pm
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor. - Foto Malai Rosmah Tuah.
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor. - Foto Malai Rosmah Tuah.

BERSATU Sabah sokong Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti dikekalkan

KOTA KINABALU: Badan Pimpinan BERSATU Sabah menyokong tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti iaitu Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan.

Ketuanya, Datuk Hajiji Noor berkata, Pengerusi BERSATU yang kini disandang oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu dikekalkan.

“BERSATU Sabah bersetuju dan menyokong cadangan supaya tiga jawatan utama berkenaan dalam parti dikekalkan dan tidak dipertandingkan pada pemilihan MPT BERSATU nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua BERSATU bahagian Tuaran berkata, BERSATU Sabah juga berharap ahli parti di seluruh negara terus berdiri teguh dan menyokong kepemimpinan mereka demi memantap dan mengukuhkan lagi perjuangan serta kedudukan parti,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji turut menyokong syor BERSATU Terengganu yang mencadangkan penyandang ketiga-tiga jawatan terbabit dikekalkan.

“Seperti BERSATU Terengganu, kita turut mengesyorkan kepada negeri lain untuk turut sama sebulat suara dalam hal ini dengan mengekalkan jawatan ketiga-tiga mereka dalam pemilihan MPT Bersatu nanti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris pada Ahad berkata, BERSATU Terengganu sebulat suara bersetuju supaya jawatan berkenaan dikekalkan dan tidak dipertandingkan.

Mesyuarat BERSATU peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac ini dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April ini, manakala Perhimpunan Agung Tahunan parli pula dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 28 Jun ini.

Berita Harian X