Isnin, 3 Februari 2020 | 10:33am
KETUA Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris (tengah) sedang mempengerusikan mesyuarat persiapan pemilihan parti di Ibu Pejabat Parti negeri. NSTP/Baharom Bakar
KETUA Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris (tengah) sedang mempengerusikan mesyuarat persiapan pemilihan parti di Ibu Pejabat Parti negeri. NSTP/Baharom Bakar

Tiga jawatan utama MPT tidak dipertandingkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri memutuskan tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak dipertandingkan pada pemilihan parti di peringkat bahagian, April depan.

Keputusan itu menyaksikan jawatan Pengerusi, Presiden serta Timbalan Presiden yang kini masing-masing disandang Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dipertandingkan pada pemilihan di lapan bahagian BERSATU di negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan untuk jawatan itu tidak dipertandingkan dipersetujui lapan ketua bahagian dan dua sayap parti iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) serta Srikandi pada mesyuarat khas semalam.

Beliau berkata, BERSATU negeri juga mencadangkan semua badan pimpinan negeri parti di seluruh negara tidak mempertandingkan jawatan itu.

“Kita hanya mencadangkan, tetapi terpulanglah kepada badan pimpinan negeri kerana perlembagaan membenarkan jawatan itu dipertandingkan.

“Dengan keputusan sebulat suara yang diputuskan itu, Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz memenangi jawatan tanpa bertanding di lapan bahagian di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat badan pimpinan negeri di ibu pejabat BERSATU negeri, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti BERSATU negeri, Datuk Aziz @ Ibrahim Awang.

Razali yang juga Ketua BERSATU bahagian Marang yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding berkata, keputusan dan cadangan supaya tiga jawatan utama itu dikekalkan selepas mengambil kira Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz adalah

pengasas parti.

Jelasnya, keputusan itu diambil bukan atas desakan pihak lain, sebaliknya ia keputusan bersama.

Ketika mengulas mengenai jawatan utama ARMADA dan Srikandi peringkat pusat, Razali berkata, jawatankuasa dua parti sayap itu diberi mandat untuk membuat keputusan.

Berita Harian X