Sabtu, 18 Januari 2020 | 1:21pm
ANTARA pengundi yang hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan Our Lady Of Fatima di Kampung Kelatuan, Kimanis. - Foto Edmund Samunting
ANTARA pengundi yang hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan Our Lady Of Fatima di Kampung Kelatuan, Kimanis. - Foto Edmund Samunting

Lebih 76 peratus mengundi setakat 4 petang

KIMANIS: Sebanyak 76.14 peratus keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis setakat setakat jam 4 petang tadi.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5 petang ini, membabitkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan pergi mengundi hari ini.

Dua calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang dan Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, masing-masing selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis dan SK Our Lady of Fatima (M) Kampung Kelatuan di sini, seawal 9 pagi ini.

Sejak awal pagi, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sudah meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di tiga pusat mengundi, di SK Belatik, Papar; SK Sumbiling; dan SK Viging Ulu di Bongawan.

Azhar ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi di SK Viging Ulu, berkata setakat ini proses pengundian PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Tinjauan BERNAMA mendapati cuaca yang baik sepanjang pagi ini, menyaksikan ramai pengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing, namun jumlah itu berkurangan pada tengah hari ini berikutan cuaca panas mencecah sehingga 27 darjah Celsius.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

SPR menjangkakan keputusan PRK itu dapat diumumkan sebelum 10 malam ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim, 67, dan Mohamad, 48 tahun. – BERNAMA

Berita Harian X