Ahad, 12 Januari 2020 | 7:21pm
MOHD SHAFIE ketika berucap di Majlis Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis. - Foto NSTP/Edmund Samunting
MOHD SHAFIE ketika berucap di Majlis Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis. - Foto NSTP/Edmund Samunting

Shafie pertahan Mohammadin

KIMANIS: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tiada salahnya mengumumkan peruntukan yang sudah diluluskan kerajaan untuk disalurkan kepada pihak yang berkaitan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Jelasnya, jika peruntukan itu memang sudah sedia ada dan sudah dikenal pasti di mana tempat untuk disalurkan, justeru ia bukan satu penyalahgunaan kuasa kerajaan.

“Kalau peruntukan itu sudah diumumkan dalam belanjawan, tinggal bagi saja takkan nak lambat-lambatkan. Bukan kita salah guna kuasa tapi kita tahu peruntukan itu memang sedia ada, sudahpun dikenal pasti di mana tempatnya.

“Kalau kita bagi peruntukan untuk kesihatan seperti penyakit polio contohnya, kena suntik selepas PRK, matilah orang,” katanya selepas Majlis Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis, di sini, hari ini.

‘Bukan kita salah guna kuasa tapi kita tahu peruntukan itu memang sedia ada, sudahpun dikenal pasti di mana tempatnya,” kata Mohd Shafie ketika berucap di Majlis Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis. - Foto NSTP/Edmund Samunting
‘Bukan kita salah guna kuasa tapi kita tahu peruntukan itu memang sedia ada, sudahpun dikenal pasti di mana tempatnya,” kata Mohd Shafie ketika berucap di Majlis Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis. - Foto NSTP/Edmund Samunting

Beliau mengulas tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi, mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan II, di sini, ketika Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 yang diadakan di padang sekolah berkenaan, malam tadi.

Pengumuman itu dikritik pembangkang kerana dianggap sebagai menyalahi peraturan pilihan raya berikutan dilakukan di kawasan Kimanis ketika kempen PRK.

Mengenai kenyataan Mohammadin yang mempersoalkan kenapa pemberian peruntukan pada pilihan raya boleh dilakukan ketika zaman UMNO dan Barisan Nasional (BN), Mohd Shafie menjelaskan, perkara itu tidak timbul.

“Bukan kita mahu bandingkan kerajaan dulu dengan sekarang. Ini dari segi hak, orang yang dapat hak, itu hak dia, ..orang dah minta, bagilah.

“Ini bukan pasal integriti tetapi saya ingat itu bukanlah satu perkara yang menjadi isu,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Mohammadin dilaporkan berkata pengumuman peruntukan yang dibuatnya tidak salah kerana ia untuk sekolah, selain menjelaskan bahawa pelajar sekolah bukan pengundi.

Kenyataan itu dikritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook yang mengatakan tiada keperluan lagi untuk PRK Kimanis kerana menteri Pakatan Harapan (PH) secara terang-terang melanggar peraturan pilihan raya.

Najib berkata, jika PH menang dalam PRK itu, keputusannya akan dibatalkan.

Berita Harian X