Ahad, 12 Januari 2020 | 4:06pm
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media ketika hadir di Majlis Ramah Mesra bersama RELA di Dewan Masyarakat Papar, semalam. - Foto Edmund Samunting
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media ketika hadir di Majlis Ramah Mesra bersama RELA di Dewan Masyarakat Papar, semalam. - Foto Edmund Samunting

Jangan ulangi kesilapan BN - Muhyiddin

BONGAWAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan komitmennya untuk bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) membangunkan Sabah dan mencorak masa depan yang lebih baik untuk negeri ini.

Perkara itu dinyatakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis anjuran WARISAN di Plaza Bongawan, di sini, malam tadi.

“BERSATU berdiri teguh bersama WARISAN membangunkan Sabah dan sama-sama berjuang untuk masa depan Sabah,” katanya.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Naib Presiden WARISAN, Datuk Jaujan Sambakong dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, menjelaskan PRK Kimanis adalah ujian untuk WARISAN dan rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan hala tuju Sabah ke arah kemajuan.

“Walaupun ini hanya PRK, kepentingannya begitu besar kepada rakyat di Sabah,” katanya.

Jelasnya, kejayaan mengubah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dipertahankan agar kesilapan yang pernah dilakukan kepemimpinan kerajaan sebelum ini tidak berulang.

Tambahnya, kejayaan mengubah kerajaan pada PRU lalu adalah keputusan besar dibuat oleh rakyat di Sabah dan Semenanjung kerana berlaku selepas 60 tahun BN berkuasa.

“Ia adalah satu keputusan yang besar, ertinya bahawa rakyat yang menentukan kerajaan dan selepas 60 tahun ia dinafikan oleh rakyat itu sendiri.

“Tidak dinafikan ada kemajuan dan pembangunan dibawa oleh BN tetapi di akhir era kerajaan lalu, sebelum kalah, mereka sudah salah guna kedudukan.

“Persoalannya, PRK ini kita menentang BN, adakah kita mahu kembalikan wakil rakyat BN. Sudah pasti kita tidak mahu sebab tidak mahu sejarah lampau berulang lagi,” katanya.

Katanya, rakyat di seluruh negara masih mahukan kerajaan pimpinan PH di peringkat Pusat dan WARISAN di Sabah bagi membawa perubahan untuk masa depan negeri dan negara.

“Saya faham rakyat berkata kerajaan ini belum cukup bawa perubahan besar terutama dalam usaha meringankan masalah beban sara hidup, pendidikan, sosial dan soal pekerjaan.

“Sebab itu saya ajak berikan sokongan kepada dasar yang kita perkenalkan ke arah membangunkan negara dan mengembangkan ekonominya,” katanya.

Berita Harian X