X
Ahad, 12 Januari 2020 | 11:50am
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Edmund Samunting
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Edmund Samunting

Jangan biar Kimanis jadi seperti Tanjung Piai

BONGAWAN: Pengundi Kimanis tidak harus membiarkan kawasan ini menjadi seperti Tanjung Piai di Johor yang jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada November lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan wakil rakyat BN itu tidak dapat menyelesaikan masalah kawasan berkenaan, sebaliknya bergantung kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor.

Katanya, keadaan sama akan berlaku di Kimanis jika calon BN diberi kemenangan, sekali gus merugikan rakyat kawasan ini yang sepatutnya dapat dibantu oleh wakil rakyat mereka sendiri.

“PRK Kimanis ini untuk menentukan wakil di Parlimen, untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, bukan masalah wakil rakyat.

“Jadi, jangan kita biar jadi macam Tanjung Piai. Bukan YB (Yang Berhormat) yang bantu selesai masalah rakyat di sana tapi kerajaan PH, Johor.

“Begitu juga di Kimanis. Mana mungkin YB pembangkang dapat membantu rakyat selesaikan masalah rakyat di Kimanis seperti masalah banjir yang sering berlaku di Membakut,” katanya pada ceramah perdana WARISAN, di sini, malam tadi.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa Sabah bukan lagi simpanan tetap BN seperti yang sering dikatakan pemimpin mereka sebelum ini.

Mohd Shafie turut mempersoalkan kewajaran keputusan kerajaan BN sebelum ini yang membenarkan PETRONAS menghantar gas dikeluarkan dari negeri ini ke Bintulu, Sarawak menerusi projek pemasangan paip gas yang menelan kos RM3.8 bilion.

Katanya, lebih baik wang yang banyak itu digunakan untuk membangunkan loji minyak dan gas di Kimanis supaya dapat menyediakan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat setempat.

“Kenapa tidak bina loji di sini. Kita boleh bina pelabuhan di Kimanis untuk keperluan operasi industri. Jangan bawa ke negeri lain. Cuba bayangkan kita bawa hasil negeri lain ke Sabah? Apa perasaan mereka? Pasti terasa juga,” katanya.

Projek Paip Gas Sabah-Sarawak itu membabitkan jarak kira-kira 521 kilometer dengan 94 kilometer melalui negeri ini, bagi menyalurkan gas mentah ke loji di Bintulu dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis.

Sebelum ini, Mohd Shafie turut menyuarakan agar gas yang dikeluarkan di negeri ini diproses di Kimanis menerusi pembinaan loji di sini sebagai langkah mengembangkan sektor industri minyak dan gas di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, pejabat daerah baharu akan diwujudkan di Parlimen Kimanis selaras keputusan kerajaan negeri yang meluluskan penubuhan daerah baharu di kawasan ini.

Mohd Shafie menjelaskan, beliau sudah memberi arahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai perkara itu, dua minggu lalu.

Jelasnya, lokasi pejabat daerah itu akan ditentukan selepas meneliti tempat yang sesuai di kawasan yang terletak di tengah-tengah di antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Bongawan.

“Kita akan ubah Kimanis menjadi daerah penuh. Sekarang rupanya, pentadbiran kawasan ini terbahagi dua, iaitu DUN Membakut di bawah daerah Beaufort, manakala DUN Bongawan di bawah pentadbiran daerah Papar.

“Jadi saya kata, pejabat daerah baharu itu biarlah jangan lebih di Membakut dan jangan juga lebih di Bongawan supaya rakyat kawasan ini mudah berurusan dan masing-masing mendapat manfaat,” katanya.

Beliau mengulas mengenai cadangan mewujudkan sebuah daerah penuh di Kimanis yang pernah dijanjikan kerajaan BN sebelum ini tetapi belum dilaksanakan sehingga kini.

Mohd Shafie menambah, kerajaan negeri pimpinannya komited untuk melaksanakan pembentukan daerah baharu itu sama seperti daerah Kalabakan yang sebelum ini di bawah pentadbiran daerah Tawau.

“Kita lulus penubuhan satu pejabat daerah di kawasan ini. Di Kalabakan saya janji dulu. Sekarang sudah ada,” katanya.

Berita Harian X