Jumaat, 3 Januari 2020 | 4:11pm
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar. - Foto Yazit Razali
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar. - Foto Yazit Razali

Pemilihan BERSATU bermula 25 Januari

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

Sempena persidangan cawangan, BERSATU akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), termasuk sayap Srikandi serta Armada.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar, berkata persidangan cawangan hendaklah didahului dengan persidangan Srikandi dan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi serta Armada Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Srikandi serta Armada Bahagian masing-masing.

Beliau berkata, persidangan bahagian pula akan memilih MPT, iaitu barisan kepemimpinan parti pada peringkat pusat.

Bagaimanapun, persidangan Srikandi dan Armada Bahagian perlu diadakan sebelum persidangan bahagian.

Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada Malaysia.

“Semua cawangan dalam sesuatu bahagian hendaklah bersidang pada tarikh sama dalam tempoh bagi persidangan cawangan yang ditetapkan MPT.

“Tarikh persidangan ditentukan oleh bahagian selepas berunding dengan cawangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Hamid berkata, ahli parti yang ingin bertanding jawatan peringkat cawangan, termasuk Srikandi dan Armada, tidak perlu mendaftarkan pencalonan masing-masing.

Sebaliknya, mereka mesti berdaftar sebagai ahli parti dan menjelaskan yuran tahunan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019 atau ahli seumur hidup.

Bagi Armada, hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2019 yang layak menghadiri persidangan serta bertanding bagi jawatan dalam sayap tertakluk kepada syarat yang terpakai.

Pendaftaran pencalonan bagi jawatan peringkat bahagian, termasuk Srikandi dan Armada, perlu dilakukan di pejabat bahagian masing-masing pada 13 Januari ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Jika tiada pejabat bahagian, Jawatankuasa Pemilihan Parti akan menetapkan lokasi untuk pendaftaran pencalonan dalam waktu terdekat.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti hanya mengiktiraf senarai ahli layak hadir ke persidangan cawangan yang dikeluarkan Ibu Pejabat parti yang disahkan oleh Setiausaha Agung.

“Ahli disarankan supaya menyemak status keahlian masing-masing dalam senarai keahlian yang bakal dipamerkan di pejabat bahagian dan cawangan mulai 7 hingga 12 Januari ini,” katanya.

BERSATU menetapkan 20 Jun depan untuk mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan serentak dengan pemilihan parti.

Berita Harian X