Khamis, 2 Januari 2020 | 6:57pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) bersama Ketua WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang (dua dari kiri) yang diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Dewan Terbuka Membakut. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) bersama Ketua WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang (dua dari kiri) yang diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Dewan Terbuka Membakut. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Karim diumum calon WARISAN bagi PRK Kimanis

MEMBAKUT: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengumuman dibuat Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pelancaran jentera parti itu, di sini, petang ini.

Mohd Shafie berkata, pemilihan itu mengambil kira sokongan rakyat dan usaha diambil Karim memfailkan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kawasan berkenaan, tahun lalu.

“Tidak mungkin ada PRK kalau bukan kerana Datuk Karim Bujang, maka calonnya ialah Karim,” katanya.

Karim yang tewas 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, ketika PRU-14 memfailkan petisyen pilihan raya pada 2018.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Ketua WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang (dua dari kiri). - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Ketua WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang (dua dari kiri). - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan keputusan PRU-14 bagi Parlimen Kimanis tidak sah dan batal sebelum dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada awal bulan lalu.

Mohd Shafie berkata, pemilihan Karim diputuskan hari ini selepas mengambil kira pengalaman dan perjuangan beliau di kawasan Kimanis.

“Beliau seorang tokoh berpengalaman yang tidak pernah kalah dalam pilihan raya. Dia berjaya bawa PRK selepas membuat petisyen PRU lalu, maknanya dia tidak kalah.

“Dari segi pengalaman, Karim memang sesuai dan kita memerlukan seorang wakil rakyat mewakili masyarakat Brunei yang berani bersuara di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Karim menyifatkan pencalonannya sebagai tanggungjawab yang perlu diterjemahkan kepada kemenangan untuk parti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan WARISAN yang memberi kepercayaan dan bagi saya ia adalah satu tanggungjawab.

“Terima kasih kepada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan rakan kita daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang memberikan sokongan.

“Saya hargai kepercayaan ini dan berharap ia dapat menjadi kemenangan yang menjanjikan masa depan cerah kepada kita di Kimanis,” katanya.

Karim pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama beberapa penggal ketika dalam UMNO sebelum digugurkan pada PRU-13 apabila UMNO meletakkan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon.

Mohamad yang kini Ketua UMNO Kimanis, diumumkan sebagai calon parti itu bagi PRK Kimanis, semalam.

Berita Harian X