Rabu, 1 Januari 2020 | 6:01pm
KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua dari kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (dua dari kanan) yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kimanis Centro di Kimanis. NSTP/Malai Rosmah Tuah.

Mohamad Alamin tepati kriteria calon BN

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Mohamad, 48, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebelum tewas pada (PRU-14).

Ketika mengumumkan calon itu, Ketua Badan Pehubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pemilihan Mohamad dibuat selepas empat pusingan kaji selidik.

Pemilihan Mohamad adalah keputusan UMNO Sabah yang mendapat kuasa autonomi daripada UMNO Pusat.

“Kami mendapati Mohamad adalah calon yang menepati kriteria ditetapkan, selain menjadi pilihan rakyat di kawasan Kimanis.

“Kami yakin dengan calon yang dipilih yang juga anak tempatan Kimanis dan pernah menjadi wakil rakyat, selain bukanlah individu yang asing di Parlimen Kimanis.

“Faktor itu penting bagi memastikan penerimaan positif pengundi di Kimanis terhadap calon BN dan kita yakin akan keupayaan calon untuk berkolaborasi secara aktif dengan semua jentera BN serta komponen parti pada PRK ini,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN di sini, hari ini.

Pada PRU-14, Mohamad tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Dr Daud Yusof.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN dalam pilihan raya umum 2018 menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, kemenangan BN pada PRK Kimanis akan memberikan impak politik yang besar khususnya kebangkitan semula UMNO di Sabah.

“Parti pembangkang lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) juga turut memberi sokongan kepada calon BN,” katanya.

Berita Harian X