Ahad, 8 Disember 2019 | 2:01pm
KETUA Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Belajar untuk terima pandangan berbeza

AYER KEROH: Ahli dan pemimpin PKR diingatkan demokrasi bukan sahaja mengenai konsep mengikut majoriti tetapi juga sedia menerima pandangan berbeza.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata menguruskan demokrasi adalah perkara yang sukar dan memerlukan kebijaksanaan luar biasa.

“Jika kita panggil diri kita demokrat dan menjunjung prinsip demokrasi, kita seharusnya faham bahawa demokrasi bukan sekadar ‘majority rule’ (peranan utama), tetapi demokrasi bererti kemampuan untuk menerima pandangan berbeza dengan kita.

“Demokrasi bukan bermakna paksaan kehendak kita semata-mata, tetapi satu bentuk muafakat dan bersedia menerima dan menghormati keputusan pemimpin.

“Jika kita tidak bersedia melakukan perkara ini, usahlah panggil diri kita seorang demokrat,” katanya pada ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden, bersikap terbuka dalam sistem demokrasi PKR dan tidak wajar diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk ‘memijak’ kepemimpinannya.

Beliau berkata, kesabaran dan kesediaan Anwar untuk mendengar pandangan serta keluhan ahli meskipun bertentangan dengan pendirian dan keputusan, tidak boleh dimanipulasi mana-mana pihak termasuk yang mempunyai agenda peribadi.

Sementara itu, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, pihaknya akan meneruskan program turun ke tujuh negeri lagi bagi melaksanakan latihan kepemimpinan PKR, sekali gus bertemu ahli akar umbi.

Katanya, siri jelajah sebelum ini sudah ke Johor, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah, manakala selebihnya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Program ini adalah untuk melatih pemimpin akar umbi untuk memahami perjuangan sebenar parti, seterusnya bergerak senada dengan agenda perjuangan parti.

“Kita akan meneroka di semua 222 cabang PKR di seluruh negara untuk memastikan parti yang berusia dua dekad ini diperjuangkan dengan ikhlas oleh semua ahli,” katanya.

Berita Harian X