Ahad, 8 Disember 2019 | 7:48am
Antara perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional Wanita dan AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh, semalam. - NSTP/Rasul Azli Samad
Antara perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional Wanita dan AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh, semalam. - NSTP/Rasul Azli Samad

Kongres Nasional PKR labuhkan tirai hari ini

MELAKA: Kongres Nasional PKR 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC) di sini, akan melabuhkan tirainya hari ini.

Menurut jadual yang dimuat naik PKR dalam laman web rasminya, hari terakhir bakal menyaksikan penggulungan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Majlis yang bermula 9 pagi itu akan didahului dengan ucapan aluan Pengerusi Tetap merangkap Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim.

Ia disusuli ucapan penggulungan Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, diikuti ucapan penggulungan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha.

Selepas itu, lima Naib Presiden dijadual mengambil giliran untuk menggulung, dimulai dengan Ali Biju, Chang Lih Kang, Tian Chua, Datuk Dr A Xavier Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin.

Kemudian, Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggulung ucapannya.

Kemuncak acara ialah penggulungan oleh Timbalan Presiden dan Presiden.

Kira-kira 3,000 perwakilan menghadiri Kongres Nasional PKR Ke-14, yang bertema ‘20 Tahun Keadilan: Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’. - BERNAMA

Berita Harian X