Sabtu, 7 Disember 2019 | 1:57pm
Suasana di dalam dewan Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Suasana di dalam dewan Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah

Wakil rakyat lompat parti gugur keahlian

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat UMNO yang memilih laluan ‘lompat parti’ selepas menang pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan digugurkan keahliannya serta-merta.

Ketetapan terbaru itu susulan pindaan kepada Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO yang diluluskan sebulat suara perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Selain itu, pindaan fasal sama menetapkan tindakan itu turut terpakai ke atas ahli yang bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya.

Sebelum ini, fasal berkenaan hanya menyebut ahli yang bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan dipecat dan tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

Pindaan ke atas Perlembagaan UMNO dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam sesi tertutup semalam.

Laman web UMNO Online hari ini, melampirkan Kandungan Pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan.

Ia membabitkan 12 fasal, antara lain meliputi hal keahlian, penarafan sayap, autonomi UMNO Sabah, disiplin parti dan pengurusan aset UMNO.

Pindaan fasal 9.8.1 yang diluluskan memberi tugas tambahan kepada Presiden parti untuk menamakan calon pilihan raya bagi Parlimen dan DUN.

Di bawah fasal 10 pula, parti memberi kuasa kepada UMNO bahagian menyenaraikan calon-calon untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, sebelum senarai itu dikemuka kepada Presiden.

Ini menjadikan tanggungjawab memilih calon pilihan raya yang sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi diubah kepada UMNO Bahagian dan Presiden parti.

Turut diluluskan dalam pindaan terbabit, pemberian lebih autonomi kepada UMNO Sabah termasuk dalam menentukan saf kepemimpinan negeri serta calon pilihan raya.

Selain itu, fasal 4.2 dipinda bagi membolehkan had usia keahlian UMNO diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Dalam pindaan kali ini, UMNO turut menambah satu lagi keahlian iaitu Ahli Bersekutu, berbanding dua jenis yang ada sebelum ini iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

“Ia menambah kategori ahli UMNO sama ada melalui badan bukan kerajaan (NGO) ataupun keahlian individu secara langsung,” jelas usul pindaan itu.

Selain itu, turut diluluskan dalam pindaan Perlembagaan UMNO, fasal 9.2.2 yang menaikkan kedudukan Ketua Wanita parti setaraf dengan Timbalan Presiden.

Berita Harian X