Jumaat, 6 Disember 2019 | 7:17pm

'Terus belayar walau bahtera dibadai ombak' - Dr Wan Azizah

AYER KEROH: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu ahli dan pemimpin PKR berhenti berkonflik dan bergeseran sesama sendiri.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, mahu semua ahli dan kepemimpinan parti mencari titik pertemuan yang membolehkan ‘bahtera PKR terus belayar walaupun dibadai ombak.’

“Kita tidak boleh selamanya hidup dalam konflik dan pergolakan. Kapal yang belayar sehebat mana pun kalau berterusan dibadai ombak tanpa usaha untuk berlabuh di pangkalan, pasti akan musnah.

“Kita perlu mencari titik pertemuan itu untuk berlabuh dan merancang agenda besar membela rakyat.

“Berhentilah daripada bergolak dan bergeseran sesama sendiri kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya berucap menutup Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dr Wan Azizah mengakui sejarah menunjukkan parti tidak pernah sunyi daripada pergolakan, pertembungan dan pergeseran sejak awal penubuhannya.

Beliau mengambil contoh peristiwa pemilihan pertama parti di Kemaman pada 2000 yang menyaksikan pertembungan sengit hingga hampir melumpuhkan parti.

“Saya takut parti yang kita bina dengan keringat dan air mata, segala kepayahan dan derita dimusnahkan dengan budaya rosak yang diciplak daripada parti musuh yang rosak dan usang,” katanya.

Beliau yakin Kongres Nasional Wanita dan AMK akan menyatukan kembali saf kepemimpinan parti bagi mendepani cabaran membina semula Malaysia Baharu.

Dalam sidang medianya, Dr Wan Azizah mengakui ramai ejen provokasi dipercayai menjadi pencetus kekecohan Kongres AMK.

Enggan menuding jari pada mana-mana pihak yang mungkin menjadi dalang kekecohan terbabit, beliau mahu polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Dr Wan Azizah kesal dengan kekecohan itu yang tidak sepatutnya berlaku kerana pemecatan Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad, menepati saranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Sesiapa yang menyebabkan provokasi atau reaksi perlu dikenakan tindakan tegas supaya kekecohan tidak menjadi budaya. Kita mahu proses demokBHHENTIrasi berjalan dengan baik, aman dan selesa,” katanya.

Berhubung kemungkinan perdamaian antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sampai ke peringkat akar umbi, beliau menegaskan ia tidak sepatutnya begitu.

“Masa Azmin datang (bertemu Anwar), dia tenang saja, tak ada apa-apa. Kita nak semuanya tenang, janganlah buat provokasi. Bila provokasi, jadi macam-macam,” katanya yang melihat pelbagai isu dalam PKR sebagai sebahagian daripada dinamik dalam parti.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap menutup Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap menutup Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
Berita Harian X