Khamis, 5 Disember 2019 | 10:46pm
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Elak fahaman sempit - Mohamed Azmin

MELAKA: Kerajaan Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit sebaliknya perlu berpegang kepada prinsip luhur, sederhana serta meraikan dan mendakap kepelbagaian.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Pakatan Harapan perlu bekerja berganding bahu untuk mengikat perpaduan, mencapai kesejahteraan, memperkukuh ekonomi demi kemakmuran bersama.

Menurutnya, sebagai satu wawasan yang besar, ia hanya akan berjaya apabila disambut sepenuhnya oleh rakyat.

“Maka, tanggungjawab saudara-saudari sekalian adalah untuk menggembleng dukungan rakyat dan membina Malaysia yang rancak ekonominya, kaya budayanya dan makmur dengan keadilan sosial.

“Tanggungjawab anak muda dan wanita adalah membangun naratif Malaysia Baharu yang jitu, berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan, kesederhanaan dan keterangkuman.

“Inilah yang kita maksudkan dengan Malaysia Baharu,” katanya pada ucapan perasmian pembukaan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Mohamed Azmin ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohamed Azmin ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Hadir sama, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha dan Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata gabungan politik PH akan terus kukuh melalui gerak kerja yang pintar dan muafakat yang utuh.

“Gagasan dan ideologi semata-mata tidak akan menjamin kemenangan untuk rakyat sebaliknya kita perlu merasai denyut nadi rakyat dan menyelami aspirasi di dalam sanubari mereka.

“Sekiranya Kerajaan PH dapat menterjemahkan aspirasi ini ke dalam bentuk dasar, inisiatif dan program, mandat yang diberikan kepada PH Insya-Allah akan berterusan,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 2,000 perwakilan.

Tambahnya, PH juga perlu meraikan kepelbagaian pendapat dan wacana fikiran yang sihat kerana rakyat juga mahu melihat kesatuan dan keberkesanan dalam tindakan.

Namun, katanya sebagai sebuah parti yang rencam dan majmuk, pasti ada kalanya parti akan berhadapan dengan cabaran dan perbezaan pandangan.

“Kita telah membuktikan setiap perbezaan pandangan yang kita hadapi akan dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan dan ruhul ukhuwwah.

“Kita juga mesti mempunyai semangat dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi.

“Saya yakin, jika kita berpegang teguh kepada idealisme dan prinsip perjuangan yang luhur, apa juga perbezaan, masalah, mahupun krisis akan dapat diselesaikan,” katanya.

Kongres Nasional PKR ke-14 yang membuka tirai malam ini sehingga Ahad ini yang bakal menyaksikan majlis penutup kongres kedua-dua sayap disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang esok.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar Sabtu ini sekali gus merasmikan kongres tahunan parti dominan kerajaan Pakatan Harapan, yang akan dihadiri hampir 3,000 perwakilan.

Berita Harian X