Khamis, 5 Disember 2019 | 10:40pm
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pengundi muda ujian sebenar PKR - Mohamed Azmin

AYER KEROH: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan ujian sebenar sedang dihadapi PKR ialah berhadapan dengan 7.8 juta pengundi baharu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, berhadapan dengan pengundi muda seramai itu, parti memerlukan kesatuan dan kekuatan (quwwah) yang jitu.

“Justeru, setiap daripada kita dalam dewan ini mempunyai peranan dalam membangunkan parti ini.

“PKR tidak dibangunkan oleh seorang individu kerana setiap kita adalah kesatria dan srikandi,” katanya berucap merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.

Mohamed Azmin berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohamed Azmin berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Yang turut hadir, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.

Turut serta, Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menyifatkan majlis perasmian sebagai ‘malam keramat’ dan satu permulaan baharu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata PKR mempunyai tugas berat iaitu memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030; berjaya.

Beliau juga berkata, PKR perlu memperbaharui iltizam untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PKR perlu merasai denyut nadi rakyat dan menyelami aspirasi di dalam sanubari mereka.

“Sekiranya kerajaan PH dapat menterjemahkan aspirasi itu ke dalam bentuk dasar, inisiatif dan program, mandat yang diberikan kepada PH akan berterusan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, gagasan dan ideologi semata-mata tidak akan menjamin sokongan rakyat.

Dalam pada itu, PKR katanya perlu menjadi tunjang kepada PH untuk mewujudkan kestabilan dan ketahanan.

Beliau yakin menerusi kerjasama dengan rakan komponen dalam PH dalam gabungan yang utuh, PH akan mampu untuk terus memajukan negara.

“Namun, sebagai sebuah parti yang rencam dan majmuk, pasti kita akan berdepan dengan cabaran dan perbezaan pandangan.

“Kita membuktikan setiap perbezaan pandangan yang kita hadapi akan dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan, ‘ruhul ukhuwwah dan ‘mutual respect’,” katanya.

Berita Harian X