Rabu, 4 Disember 2019 | 11:36am
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Danial Saad

Mohamad Sabu berpeluang pertahan jawatan Presiden AMANAH

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dijangka mengekalkan jawatan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi sesi akan datang apabila tersenarai dalam pencalonan bagi memilih 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional sempena Konvensyen Nasional parti itu, Jumaat ini.

Hampir kesemua pimpinan tertinggi parti tersenarai termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub; tiga Naib Presiden, Datuk Dr Hasan Baharom, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus. Mereka antara 87 calon yang layak bertanding.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Husam Musa gagal menempatkan diri dalam pencalonan itu dan setakat ini belum diketahui sama ada Husam menarik diri atau gagal memperoleh pencalonan.

Difahamkan beliau turut menarik diri dalam pencalonan peringkat negeri.

Syarat kelayakan bertanding memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan daripada kawasan dan negeri. Kalau kawasan tidak mencalonkan tapi ada dua negeri berbuat demikian, calon layak bertanding.

Turut menerima pencalonan, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Setiausaha Agung yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Mohd Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Sejumlah 226 pencalonan diterima yang mana hanya 137 layak bertanding dan 50 menolak pencalonan, sekali gus hanya 87 akan bertanding merebut 27 jawatan AJK Pimpinan Nasional.

Pencalonan diterima daripada semua peringkat kawasan, negeri dan sayap kecuali daripada Pemuda Nasional disebabkan Konvensyen Pemuda Nasional hanya akan berlangsung hari ini dan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Nasional AMANAH, Dr Zulqarnain Lukman, berkata senarai pencalonan itu adalah muktamad kecuali jika ada penarikan diri oleh mana-mana calon dan masih tertakluk kepada tambahan calon Pemuda Nasional jika ada.

Katanya, ia disebabkan Konvensyen Pemuda Nasional hanya akan berlangsung hari ini dengan majlis perasmian malam ini.

Jawatankuasa turut menerima pencalonan daripada dua calon bagi jawatan Speaker, manakala tiga calon bagi jawatan Timbalan Speaker dan dua lagi calon untuk jawatan juruaudit.

Menurut perlembagaan parti, sebaik keputusan pemilihan diumumkan yang dijangka Jumaat ini, Speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama dengan Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Wanita Muda dan 14 Pengerusi Negeri.

Mesyuarat itu hendaklah memilih dalam kalangan 27 yang dipilih bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tidak lebih tiga Naib Presiden. Keputusan bagi jawatan itu akan diumumkan pagi Sabtu ini.

Presiden boleh melantik tambahan AJK Pimpinan Nasional yang akan membentuk jumlah keseluruhan tidak melebihi 49 orang dengan persetujuan majoriti AJK Pimpinan Nasional.

Presiden hendaklah melantik dalam kalangan AJK Pimpinan Nasional tidak lebih dua Naib Presiden, Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung, tidak lebih tiga Penolong Setiausaha, Bendahari Agung, Setiausaha Organisasi, Pengarah Komunikasi, Pengarah Pilihan Raya, Pengarah Strategi, Pengarah Hal Ehwal Syariah dan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia dengan persetujuan majoriti AJK Pimpinan Nasional yang hadir dalam mesyuarat.

Berita Harian X