Ahad, 24 November 2019 | 3:15pm

Majlis Mesyuarat Presiden PH tidak layan tubuh kerajaan 'pintu belakang'

SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) membuat ketetapan tidak akan melayan sebarang gerakan menubuhkan kerajaan menerusi ‘pintu belakang’.

Anwar yang juga Ketua Umum PH menjelaskan majlis itu tetap dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga proses peralihan kuasa berlangsung dalam keadaan aman dan selamat.

“Kami bincang semalam tetapi tidak dengar dakwaan (Presiden PAS Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) hari ini.

“Yang pasti kami kekal dengan pendirian tidak melayan sebarang gerakan menubuhkan kerajaan menerusi ‘pintu belakang’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucap utama dalam Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis’98 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Otai Reformis’98, Dr Idris Ahmad.

Abdul Hadi ketika berceramah di sini malam tadi mendakwa ‘seorang’ pemimpin dalam kerajaan merestui gerakan untuk menubuhkan kerajaan menerusi ‘pintu belakang’, sekali gus menghalang langkah mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Malah kata Abdul Hadi, PAS dan UMNO ditawarkan untuk membentuk kerajaan menerusi ‘pintu belakang’ tetapi menolaknya kerana mahu merampas Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet Dr Mahathir sehingga proses peralihan kuasa beliau menjadi Perdana Menteri kelapan berlaku.

“Saya tidak bercadang (menjadi menteri) sehingga berlaku proses peralihan kuasa,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendedahkan yang Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Presiden PH semalam mengarahkan semua parti meningkatkan prestasi serta komitmen membela rakyat, susulan kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Perdana Menteri mengarahkan semua parti dalam PH melakukan perubahan, melaksanakan program rakyat, turun ke bawah, mengelak melakukan penyelewengan dan tidak bersikap angkuh kepada rakyat,” katanya ringkas sebelum meninggalkan majlis.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucap utama dalam Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis’98 di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucap utama dalam Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis’98 di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X