Ahad, 24 November 2019 | 1:11pm
AHLI Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani. - Foto Roslin Mat Tahir
AHLI Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani. - Foto Roslin Mat Tahir

PKR digesa ambil tindakan terhadap pemimpin khianati dasar

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpin parti itu yang semakin berani mengkhianati dasar perjuangan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata sudah tiba masanya parti itu berhenti berkompromi dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham.

“Timbalan Presiden kita, Naib Presiden, Ketua Wanita dan Naib Ketua AMK sudah lupa diri kerana bertuhankan kuasa. Mereka ini semakin berani keluarkan kenyataan biadap dan mahu Anwar menjadi Perdana Menteri selepas habis penggal.

“Kita mahukan Anwar segera menjadi Perdana Menteri bukan esok atau tahun depan, tetapi kita mahu hari ini,” katanya berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar, berkata perjuangan reformasi tidak akan berhenti selagi Anwar tidak diangkat menjadi Perdana Menteri serta membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Jangan lupa Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) kerana logo PKR. Logo PKR terpampang pada PRU-14,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin melabel pihak yang ghairah mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal dari lima tahun, disifatkan sebagai cuba menubuhkan kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada PRU-14

Ia turut disokong Zuraida yang mahu Dr Mahathir Mohamad meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal PRU-14.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan kenyataan Mohamed Azmin yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian PH.

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata hanya Majlis Presiden PH akan menentukan sama ada Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal atau sebaliknya.

Pendirian Mohamed Azmin itu bertentangan konsensus PH membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh penggal PRU-14 seperti dilaporkan sebelum ini.

Anwar sebelum ini dilapor membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas PH mentadbir.

Isnin lalu, Mohamed Azmin turut dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, yang turut dihadiri Zuraida.

Berita Harian X