Isnin, 18 November 2019 | 4:36pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Tanjung Piai: Bukan masa untuk cari salah - MB

JOHOR BAHRU: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kelmarin tidak seharusnya dijadikan ‘peluru’ untuk menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata semua pihak wajar menerima keputusan itu dengan berlapang dada, memperbaiki kelemahan dan bermuhasabah diri.

Beliau yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, berkata jentera khususnya pada peringkat negeri sudah menjalankan tugas terbaik untuk memenangkan calon parti dalam pilihan raya itu.

“Keputusan (PRK) sangat mendukacitakan bagi kami PH, namun kami terima dengan berlapang dada kerana itu keputusan rakyat di Tanjung Piai.

“Saya tidak rasa ada (menyalahkan saya) kerana hasil ini adalah kerja bersama dari Pusat hingga ke negeri untuk memenangkan pilihan raya ini, namun hasilnya mendukacitakan.

“Ini bukan masa untuk menuding jari mencari salah siapa, yang penting kita perlu perbaiki dan muhasabah diri kenapa kita tewas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pejabat dan sembang santai Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (PERUSIM) di Taman Bukit Alif di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, satu ‘post mortem’ peringkat pucuk pimpinan PH negeri akan diadakan selain bersama kepemimpinan di bahagian pusat.

Dalam PRK Parlimen Tanjung Piai kelmarin calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, menang dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon PH, Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam, memperoleh 1,707 undi.

Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Jumlah undi diperoleh itu bermakna calon GERAKAN, BERJASA dan dua calon Bebas hilang wang deposit.

Berita Harian X