Isnin, 18 November 2019 | 3:47pm
Saifuddin (kanan) selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di UMK Kampus Bachok, hari ini. - NSTP/Syamsi Suhaimi

3 perspektif diteliti dalam 'bedah siasat'

BACHOK: Tiga perspektif akan diteliti Pakatan Harapan (PH) menerusi ‘bedah siasat’ yang diadakan secara terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata memandangkan mesyuarat bulanan Majlis Presiden PH diadakan tidak lama lagi, ia akan menjadi pentas terbaik untuk membincangkan perkara itu selain menganalisis prestasi di semua 27 daerah mengundi.

Beliau berkata, perspektif yang akan diteliti itu antaranya adakah kekalahan berkenaan menjadi isyarat populariti Barisan Nasional (BN) kembali pulih atau lebih kepada protes rakyat kepada PH, bukannya rasa sayang kepada parti pembangkang berkenaan.

“Bagi perspektif kedua, adakah dengan kekalahan itu menjadikan PRK Tanjung Piai sebagai cerminan menyeluruh di seluruh negara. Ketiga, jangan ada ‘denial sindrom’ dalam PH dan bersedia mengakui ia adalah hak demokrasi pengundi yang sudah membuat keputusan masing-masing.

“Saya lihat sistem PRK kali ini lebih baik dan berjalan dengan kemas, sekali gus menjadi nilai tambah kepada kerajaan baharu. Semua orang boleh sampaikan pandangan tanpa rasa keluh kesah dan mereka sudah buat keputusan berkenaan.

“Jadi, lebih baik kita menghormati keputusan (PRK Tanjung Piai) dan belajar isyarat yang disampaikan rakyat yang dilihat lebih penting. Sudah tentu strategi perlu diubah kerana barangkali usaha yang dibuat sudah baik cuma proses komunikasi tidak lancar menyebabkan rakyat tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai banyak isyarat mahu Tun Dr Mahathir Mohamad berundur, Saifuddin berkata semua pemimpin tidak boleh mempunyai reaksi sedemikian, sebaliknya harus tenang menghadapi keputusan terbabit.

“Kita kena balik semula ke ‘drawing board’ dan daripada situ baru boleh kemukakan apa-apa syor. Sesuatu kekalahan dalam sejarah PH, sebenarnya kita lebih banyak merasai kalah daripada menang.

“Takkan satu kekalahan terkejut sudah rebah. Memang ada kesannya dan ia perlu dipelajari, cuma kita kena ‘reverse’ sedikit kembali kepada ‘drawing board’, barulah bergerak ke hadapan.

Tambahan pula hikmah berlaku sekarang sementara kita ada tiga tahun setengah lagi melainkan PRK dibuat setahun sebelum tempoh matang, barulah kesan lebih berbeza.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, muncul pemenang dengan majoriti besar, 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini (10,380 undi) selain calon GERAKAN, Wendy Subramaniam yang mendapat 1,707 undi.

Berita Harian X