Ahad, 17 November 2019 | 6:22pm
Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Tanjung Piai: Kekalahan menuntut muhasabah

KUALA SELANGOR: Kerajaan dan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, semalam.

Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sebagai isyarat dari pengundi yang mahukan PH menunaikan janji selain memperbaiki kekurangan dari sudut kepemimpinan.

“Kekalahan ini dilihat tepat dan wajar untuk kita mengambil sebagai kesedaran untuk segera memperbaiki dan meningkatkan prestasi.

“Malah, kekalahan ini juga dilihat sebagai ‘strong reminder’ dan selaku ahli Kabinet, kita sentiasa melakukan muhasabah selain menerima kritikan dan cadangan kerana kerajaan pada hari ini adalah terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) 2019 di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Bukit Rotan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng atas kemenangan itu.

Semalam, Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya termasuk calon PH, Karmaine Sardini, yang meraih 10,380 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari BERSATU akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Berita Harian X