Ahad, 17 November 2019 | 4:49pm
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

PKR kupas kekalahan PH di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Pimpinan utama PKR akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan secara terperinci kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan itu diyakini memberi gambaran jelas terhadap punca kekalahan dalam persaingan enam penjuru berkenaan.

“Ini mesej jelas kepada pimpinan. Kita perlu melihat kelemahan pimpinan, selain memperbaiki prestasi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam kalangan ahli Parlimen dan meneliti salah serta silapnya.

“Kita perlu bergerak ke depan kerana masa sudah tak banyak manakala kita perlu melaksanakan serta menunaikan janji sedia ada,” katanya kepada BH selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul di Perkarangan Masjid Jamek Al-Khadijah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini, yang mendapat 10,380 undi.

Fahmi berkata, kekalahan itu juga adalah isyarat jelas rakyat supaya PH melakukan perubahan yang perlu dilaksanakan.

Berita Harian X