Jumaat, 15 November 2019 | 12:31pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Selagi tidak selesai, tiada Konvensyen PKR Sarawak'

KUALA LUMPUR: Pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagi merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) disifatkan sebagai satu pengkhianatan tradisi.

Kecewa dengan keputusan itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak berpendirian, kesan daripada keputusan terburu-buru membatalkan jemputan menyebabkan demokrasi dalam PKR dikuburkan secara terang-terangan.

Menerusi kenyataan hari ini, MPN PKR Sarawak turut memutuskan selagi isu itu tidak diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi, Konvensyen PKR negeri yang dijadualkan 23 November ini di Miri, terbatal.

Kepemimpinan PKR Sarawak turut menegaskan jika krisis itu tidak ditangani dengan segera oleh pimpinan tertinggi, ia akan menyebabkan krisis dan perpecahan dalam PKR.

“Adalah dengan ini, MPN Sarawak mengambil keputusan drastik bahawa pimpinan tertinggi PKR hendaklah menangani isu ini dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan majoriti dua pertiga pimpinan AMK Pusat yang dipilih secara demokratik dalam pemilihan parti menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden untuk merasmikan Kongres Nasional AMK.

Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak terkesan dan dukacita dengan perkembangan terkini berhubung keputusan itu.

“Adalah menjadi tradisi turun temurun dan konvensyen setiap parti politik di seluruh dunia bahawa Timbalan Presiden akan merasmikan kongres sayap parti politik dan PKR mengikuti tradisi ini sejak parti ditubuhkan.

“Prinsip ‘satu ahli, satu undi’ kini hanya tinggal slogan semata-mata tanpa pelaksanaan yang sebenar dan hanya sekadar mainan sandiwara beberapa kerat pimpinan PKR.

“MPN Sarawak dengan tegas, tidak akan bertolak ansur sekiranya prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada perjuangan PKR sejak sekian lama dihumban dan dilenyapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh kepemimpinan tertinggi Sarawak membabitkan Pengerusinya, Baru Bian; Naib Pengerusi, Ali Biju; Timbalan Pengerusi, Baharuddin Mokhsen; Naib Pengerusi I, Willie Mongin; Naib Pengerusi II, Nicholas Bawin Anggat; Naib Ketua Wanita Nasional, Voon Shiak Ni, Ketua Wanita Negeri, Nurhanim Mokhsen dan Jawatankuasa Pilihan Raya negeri, See Chee How.

Rabu lalu, seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat AMK membantah keputusan itu dan menyifatkannya sebagai ‘cerminan’ terhadap keadaan PKR yang dilanda krisis kepemimpinan ketika ini.

Semalam Mohamed Azmin menyifatkan pembatalan itu sebagai cubaan menutup mulutnya daripada menegur pimpinan parti itu.

Menyifatkannya sebagai amalan tidak sihat, beliau yang juga Menteri Hal-Ehwal Ekonomi turut melihat perkembangan itu sebagai cubaan memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahli parti.

Berita Harian X