Jumaat, 15 November 2019 | 12:26pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (tiga dari kiri) meninjau semakan peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi, di Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Permit rumah ke rumah bukan diputuskan di pertengahan kempen

PONTIAN: Keputusan permit rumah ke rumah bukan dibuat pada pertengahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sebaliknya dimulakan sejak awal dengan persetujuan semua wakil calon yang bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata keputusan itu juga bukan diperkenalkan oleh SPR, sebaliknya diputuskan oleh pihak polis.

“Saya nak jelaskan bahawa keputusan (permit rumah ke rumah) bukan SPR, sebaliknya keputusan dibuat pihak polis.

“Apa saja urusan permit adalah kuasa polis. Permit bukan dikeluarkan di tengah tempoh kempen, ia diperkenalkan sejurus kempen, pada hari pertama kempen.

“Ketika diperkenalkan pada hari pertama (kempen) ejen calon ada dan tiada bantahan, malah selepas itu ramai buat permohonan permit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau semakan peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi, di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Azhar Azizan, berkata dakwaan bahawa permit rumah ke rumah di pertengahan kempen adalah satu penipuan dan berniat jahat.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bahawa permit rumah ke rumah tidak diperlukan.

Pada Selasa, SPR dilaporkan berkata polis menetapkan bahawa semua parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil perlu mendapat permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, polis juga menetapkan bahawa program tinjauan mesra, yang dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai had masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata permit akan memudahkan pemantauan, untuk memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan, dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

Peraturan itu dikatakan kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Semalam, Tommy menjelaskan bahawa kempen dari rumah ke rumah dan secara tinjauan mesra oleh calon dan jentera parti politik tidak memerlukan permohonan permit polis.

Katanya, peruntukan mengenai keperluan permit itu yang dinyatakan mengikut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya adalah tidak jelas.

Berita Harian X