Khamis, 14 November 2019 | 6:28pm
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Kenyataan Azmin dangkal, tidak perlu

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, disifatkan sebagai dangkal dan tidak perlu.

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, sebagai timbalan presiden, Mohamed Azmin mempunyai ruang tersendiri dalam kongres nasional parti untuk mengutarakan pandangan beliau.

“Kenyataan Mohamed Azmin bahawa isu jemputan merasmikan Kongres AMK Nasional sebagai cubaan menutup mulut beliau adalah tidak masuk akal.

“Menyifatkan Akmal sebagai lemah dan seolah-olah dikawal oleh tangan ghaib, adalah kenyataan yang dangkal dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh timbalan presiden,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, isu itu sepatutnya tidak diperbesarkan kerana ia tidak membawa keuntungan kepada rakyat khususnya ketika Pakatan Harapan sedang berhadapan Pilihan Raya Kecil di Tanjung Piai.

“Seperti kelaziman, AMK menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Mohamed Azmin bagi merasmikan Kongres AMK tetapi sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober lalu, pihak sekretariat memaklumkan tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden,” katanya.

Katanya, keputusan untuk menjemput Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dibuat sebulat suara pada mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK yang dihadiri lebih 30 orang ahli majlis.

“Mesyuarat berpandangan adalah wajar menjemput Dr Wan Azizah bagi meraikan jasa dan pengorbanan beliau sebagai presiden sebelum ini dan memandangkan buat pertama kalinya dalam sejarah parti memiliki Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Berita Harian X