Khamis, 14 November 2019 | 5:16pm
SALAHUDDIN Ayub melihat papan kenyataan yang terdapat gambar-gambar semasa kempen Pilihan Raya bersama Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Kazidi Mohd Zainuddin (kanan) hari ini di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak lama lagi. - Foto BERNAMA

PH tak risau dengan analisis

PONTIAN: Pakatan Harapan (PH) tidak gentar dengan laporan parti lawan mendahului dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sebaliknya akan memanfaatkan baki dua hari kempen untuk jentera berusaha meraih sokongan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kajian dan penganalisis boleh menyuarakan pandangan, malah PH juga mempunyai kajian sendiri mengenai kedudukan kempen.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menegaskan, pihaknya tidak terlalu yakin dengan analisis atau jangkaan keputusan bagi memastikan gerak kerja terus berjalan.

“Kajian bebas dilakukan oleh mana-mana penganalisis politik. Itu saya tak perlu khuatir, jangan terlampau yakin.

“Tak apa jika kita rasa sedikit ketinggalan, kita rasa macam kurang lagi sokongan. Jentera akan dilipatgandakan untuk meraih sokongan.

“Kalau ada kajian kata BN (Barisan Nasional) mendahului, kita juga kata ada laporan menyebut PH mendahului.

“Sejak dulu lagi kita amalkan supaya tidak terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, dalam tempoh hari-hari terakhir kempen, pihaknya memberi fokus untuk meraih sokongan 12 peratus pengundi atas pagar yang belum membuat keputusan menyokong mana-mana pihak.

Berita Harian X