Selasa, 12 November 2019 | 5:50pm
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau (tengah) bersama calon GERAKAN bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai, Wendy Sunramaniam (dua dari kiri) ketika sidang media di Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau (tengah) bersama calon GERAKAN bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai, Wendy Sunramaniam (dua dari kiri) ketika sidang media di Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Apa 8 syarat PAS bergabung dengan UMNO?

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menjelaskan kepada pengundi di Tanjung Piai sama ada parti itu menerima lapan syarat yang ditetapkan PAS untuk bergabung dalam kerjasama kedua-dua parti terbabit.

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, berkata Tanjung Piai menjadi Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama selepas UMNO bergabung secara rasmi dan rakyat perlu tahu mengenai syarat yang ditetapkan PAS itu.

Katanya, sebelum ini Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata kerjasama awal UMNO dan PAS pada tahun 1970-an dengan mengambil kira lapan syarat yang dipersetujui bersama.

Beliau berkata, antara syarat itu termasuk PAS tidak terikat dengan disiplin BN, selain kebebasan PAS untuk berdakwah termasuk di pejabat kerajaan dan universiti.

PAS dikatakan turut menetapkan bahawa apa juga aktiviti yang didapati bercanggah dengan Islam termasuk tari-menari dan minuman arak dihentikan.

“Tanjung Piai adalah PRK pertama selepas perikatan rasmi UMNO dan PAS. Jadi BN perlu menjelaskan (syarat lebih lanjut).

“Mereka (BN) ada tanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi bahawa BN sudah menerima lapan syarat dicadangkan oleh Presiden PAS,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

PAS dan UMNO sebelum ini memeterai kerjasama politik yang dinamakan Muafakat Nasional selepas BN kehilangan kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dominic berkata, rakyat dan pengundi di Parlimen Tanjung Piai perlu dimaklumkan lebih lanjut syarat gabungan UMNO dan PAS dalam BN supaya mereka tidak keliru dan tertipu.

Berita Harian X