PONTIAN: Jentera Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan kemenangan calonnya, Karmaine Sardini.
Pengarah Jentera PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal sekali gus menafikan hubungan dingin antara parti komponennya sehingga menjejaskan kempen calonnya.
Katanya, kehadiran pemimpin utama parti komponen berkenaan yang silih berganti membantu kempen calon sejak hati pertama kempen bermula membuktikan hubungan erat di antara empat parti berkenaan.
“Hubungan antara BERSATU bersama semua parti komponen, termasuk DAP berada dalam keadaan mesra dan baik.
“Malah, semalam saya bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama-sama berkempen untuk calon PH. Sebelum ini pula, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut hadir pada penamaan calon dan beberapa kempen.
“Apa yang penting kita fokus untuk menang dan tidak melayani sebarang provokasi mana-mana pihak, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama nelayan Kukup, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Media hari ini melaporkan Guan Eng mengakui wujudnya sedikit rasa tidak gembira dalam kalangan ahli parti itu untuk berkempen pada PRK Tanjung Piai.
Ia berikutan video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika berkempen di Tanjung Piai minggu lalu yang didakwa mengguris hati ahli DAP sehingga menimbulkan tidak puas hati mereka.
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya tiada maklumat akan dakwaan pemberian kad sim kepada penduduk dalam siri kempen PH di PRK Parlimen Tanjung Piai, kelmarin.
“Saya tidak maklum tentang itu. Jadi, saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenainya,” katanya.