Ahad, 10 November 2019 | 8:44pm

Tiada tempat pemimpin 'keliru' dalam PKR - Anwar Ibrahim

AYER KEROH: Tiada tempat dalam PKR untuk pemimpin yang keliru dengan asas perjuangan parti, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana PKR diasaskan bagi mempertahankan hak masyarakat pelbagai kaum serta menjaga kepentingan negara.

“Mungkin ada (pemimpin) yang keliru dalam parti ini (asas penubuhan PKR), kalau ada kepimpinan yang keliru, ..dia tak ada tempat dalam parti kerana parti ini ditegakkan untuk mempertahankan hak-hak masyarakat kita dan negara.

“Kekuatan kita adalah penyatuan semua kaum merangkumi Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan dalam keluarga besar PKR,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen PKR Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasition Ismail; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik dan kira-kira 500 anggota PKR negeri.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata kuasa yang dimandatkan oleh rakyat perlu digunakan untuk membangunkan ekonomi negara dalam usaha menghapus kemiskinan di negara ini dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

“Pembangunan ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun ini dalam keadaan mendatar. Jadi, kita perlu sokong (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) laksana program ekonomi.

“Kerana kalau keadaan ekonomi kita kekal seperti sekarang, kemiskinan akan terus berlaku dan akhirnya yang sengsara adalah rakyat. Orang kaya bertambah kaya, tetapi yang miskin papa kedana,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, Kongres Nasional PKR 2019 yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 8 Disember depan di Melaka akan mengetengahkan wawasan ekonomi yang berteraskan prinsip keadilan termasuk isu kemiskinan.

Kongres yang dijangka dihadiri 3,000 perwakilan dari seluruh negara itu juga bakal menyaksikan ucapan dasar buat julung kali oleh Anwar selepas dipilih sebagai presiden parti tahun lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Keadilan negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
Berita Harian X