Ahad, 10 November 2019 | 11:04am
MOHAMAD Sabu
MOHAMAD Sabu

PH formula terbaik untuk Sarawak - Mohamad Sabu

SIBU: Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) adalah formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata ini kerana PH yang terdiri daripada PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PH selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.

“Bagi Sarawak, Pakatan Harapan merupakan formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum,” katanya berucap pada majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi’ di sini, malam tadi.

Beliau berkata, AMANAH antara parti komponen PH mendapat sambutan menggalakkan daripada pengundi di Sarawak pada PRN yang lalu.

“Ujian pertama AMANAH walaupun baru tak sampai setahun ditubuhkan telah bertanding di 13 kerusi (Dewan Undangan Negeri) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN menang percuma. Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya (peringkat) Parlimen pula undi kita peroleh amat memberangsangkan.

“Pada pilihan raya itu (lalu) pula undi kita peroleh amat memberangsangkan dan pilihan raya tahun depan insya-Allah, AMANAH dan Pakatan Harapan akan ambil alih pentadbiran Sarawak”, tegasnya.

Sementara itu, pada sidang medianya, Mohamad berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto khas untuk Sarawak akan dibuat bila-bila masa jika ada panggilan daripada Pengerusi PH Sarawak.

Menurutnya, perbincangan berhubung pengagihan kerusi antara empat komponen PH dan manifesto khas berkenaan boleh disiapkan sekurang-kurangnya awal tahun depan.

Terdahulu, Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Khalil Abang Naili dalam ucapan alu-aluannya berkata, untuk memastikan Sarawak maju, dasar kerajaan Sarawak mestilah sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Polisi kerajaan Sarawak mestilah selari dengan Kerajaan Persekutuan, kalau tidak rakyat Sarawak akan menderita. Kerajaan Persekutuan sedaya-upaya membantu rakyat Sarawak,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X