Sabtu, 9 November 2019 | 6:15pm
Faridah Aryani pada hari kedua kempen rasminya bagi mendapatkan sokongan pengundi pada PRK Parlimen Tanjung Piai. - NSTP/Mohd Sabran Md Sani

Kempen Faridah Aryani dibantu orang kuat teksi

PONTIAN: Calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 45, terus mendapat sokongan ‘orang kuat teksi’ dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai di sini.

Kehadiran Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain, menyuntik semangat Faridah Aryani bersama pasukannya dalam menambat hati pengundi di Tanjung Piai.

Seperti sidang media semalam, Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, tetap menjadi tulang belakang memastikan calonnya terus dikenali.

Kamarudin berkata, calon GTSM yang julung kali bertanding adalah bagi membawa suara rakyat khususnya golongan B40 membabitkan semua industri pengangkutan awam.

“Mesej yang ingin kami sampaikan kepada masyarakat ialah supaya mengambil peluang Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk membuat perubahan di Tanjung Piai.

“Jika dilihat sebelum ini, kami memberi kepercayaan kepada BN dan PH, malangnya bila menang, mereka melupakan kita (pemandu teksi),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelas beliau, kemarahan mereka terbukti apabila 10 memorandum kepada kedua-dua parti besar itu tidak dilayan.

“GTSM hantar dua memorandum kepada kerajaan terdahulu (tetapi) tidak dilayan, kami juga hantar lapan memorandum kepada kerajaan kini, juga menerima nasib sama.

“Itu antara sebab kami meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai bagi mewakili B40,” katanya.

Tambah beliau, melihat layanan diberi umpama sampah, mendorong mereka menggunakan peluang bertanding pada PRK ini.

“Jika BN menang, BN tetap jadi pembangkang, jika PH menang, PH tetap jadi kerajaan, tapi kalau kami menang, kami bawa suara B40 ke Parlimen,” katanya.

Beliau juga mengakui calonnya tidak mempunyai manifesto, namun banyak isu membabitkan golongan B40 akan disuarakan.

“Hanya wakil B40 yang faham masalah keperitan dan kepayahan golongam B40, bahkan Faridah Aryani calon paling tepat,” katanya.

Sementara itu, Faridah Aryani bersyukur kempen hari keduanya terus mendapat sokongan pengundi bukan saja dalam kalangan pemandu teksi tetapi juga peniaga.

Malah, katanya, isu pendapatan pemandu teksi terjejas turut diterima berikutan ada yang memperoleh pendapatan hanya RM20 sehari.

Beliau juga berjanji akan membawa isu kebanjiran kereta sapu yang berleluasa di hentian terbabit selain memastikan penguatkuasaan dijalankan pihak berwajib.

Berita Harian X