Jumaat, 8 November 2019 | 8:24pm
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din (kiri) ketika hadir ke majlis Minum Petang Bersama Warga PDRM di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Nilai dengan fakta bukan emosi - Muhyiddin

PONTIAN: Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai dengan adil dan berdasarkan fakta bukan bersandar emosi.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata adalah tidak adil untuk menilai prestasi kerajaan PH hanya selepas lebih setahun ia mentadbir negara.

“Adalah penting untuk pengundi mendapatkan maklumat lengkap terhadap usaha dan kemajuan yang dicapai kerajaan PH.

“Ini kerana ada pengundi yang tidak mendapat maklumat lengkap namun membuat persepsi sendiri sekali gus berasa tidak gembira dengan kerajaan PH.

“Mereka beranggapan kerajaan tak melakukan usaha bersungguh-sungguh, tidak membantu rakyat secukupnya serta mengurangkan bantuan,” katanya selepas Majlis Minum Petang bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Justeru, amat penting untuk pemimpin PH memberi penjelasan secukupnya kepada pengundi supaya segala keraguan mereka terlerai dan dapat membuat keputusan dengan adil dan bukan emosi.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, banyak pencapaian kerajaan PH yang tidak mendapat perhatian masyarakat.

“Antaranya Pelan Nasional Tangani Rasuah dengan aku janji dan perisytiharan aset sebagai langkah menangani rasuah secara menyeluruh selain mengurangkan hutang negara.

“Selain itu, kebebasan media yang lebih terbuka dan boleh melaporkan pelbagai perkara tanpa disekat juga adalah pembaharuan kerajaan PH, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, PH akan kehilangan banyak undi sekiranya pengundi luar tidak pulang untuk membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, pada 16 November ini.

Beliau berkata, jumlah pengundi terbabit dalam angka besar dan membabitkan ribuan orang.

“Ya. Kalau pengundi luar tidak balik, ada kerugian pada kita (PH). Bilangannya agak ribuan juga.

“Yang kita (PH) tahu di mana mereka berada iaitu sebahagian (bekerja) di Singapura, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan di Pontian,” katanya.

Namun katanya, pengundi luar yang tidak pulang akan merugikan diri mereka dan keluarga.

“Banyak masalah akan timbul sekiranya pengundi luar tidak pulang kerana isu di kawasan tidak akan dapat diselesaikan jika silap membuat pilihan,” katanya.

Berita Harian X