PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mula menggunakan kaedah pendekatan peribadi dan bertumpu ketika memasuki minggu kedua kempen hari ini.
Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, berkata beliau serta jentera kempennya sudah selesai melawat ke semua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen berkenaan.
Karmaine yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, berkata sekarang adalah masanya untuk meningkatkan kempen secara lebih intensif dengan pertemuan peribadi dengan pengundi.
“Sekarang masanya untuk saya meningkatkan lagi kempen dengan menggunakan pendekatan lebih peribadi dan bertumpu.
“Pada minggu pertama kempen saya sudah melawat ke 27 PDM dengan memperkenalkan diri namun minggu kedua saya akan kembali ke kawasan berkenaan bertemu semua pengundi secara peribadi dan lebih mendalam.
“Saya akan ambil kesempatan cuti hujung minggu meningkatkan pertemuan dengan pengundi berikutan pada masa ini pengundi luar biasanya pulang ke sini selain penduduk berada di rumah, ” katanya pada sidang media di PDM Teluk Kerang, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Karmaine berkata, pengundi juga memberi maklum balas lebih suka berjumpa calon secara peribadi berbanding berkumpulan.
“Saya sudah bersedia meningkatkan kempen secara lebih intensif dan akan bertemu setiap pengundi dari rumah ke rumah, ” katanya.
Sementara itu calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, turut menggunakan pendekatan bertemu kumpulan kecil pengundi.
Beliau tidak menganggap penduduk yang ditemuinya sebagai pengundi semata-mata, sebaliknya rakan lama.
“Saya menganggap dan melayan mereka seperti kawan lama dan keluarga sendiri apatah lagi ramai yang memang sudah dikenali sejak dulu.
“Saya juga sudah hampir selesai mengunjungi semua 27 Peti Daerah Mengundi (PDM)di Tanjung Piai dan setakat ini penerimaan penduduk positif,” katanya.
Jeck Seng memulakan kempen hari ketujuh dengan mengunjungi Padang Awam Pontian yang menjadi lokasi utama penduduk bersenam dan berekreasi di situ.