Khamis, 7 November 2019 | 7:12am
LIM Kit Siang berucap ketika program Borak Kopitiam di Penerok, Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pengundi jangan terpengaruh dengan berita palsu - Kit Siang

PONTIAN: Pengundi Tanjung Piai tidak seharusnya terpengaruh dengan berita palsu tetapi sebaliknya memberi sepenuh keyakinan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dalam pilihan raya kecil (PRK) 16 November ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata dengan menjadi lebih celik media, pengundi tidak akan dengan mudah terpengaruh dengan berita palsu, terutama ketika kempen PRK.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ‘sesi kopitiam’ di Kampung Penerok, di sini malam tadi apabila ditanya sama ada penyebaran berita palsu akan menjejaskan peluang PH memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut menjadi mangsa berita palsu.

“Kita kini berada dalam masa di mana terdapat banyak berita paslu. (Sebagai contoh) Di kawasan Melayu (ada orang) mengatakan Dr Mahathir adalah boneka DAP dan di kawasan Cina, mereka katakan Lim Kit Siang adalah boneka Dr Mahathir.

“Kami berdua bukan boneka, sebaliknya kami berdua sedang memainkan peranan masing-masing demi negara ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PH, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Karmaine berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) dan dua calon bebas. - BERNAMA

Berita Harian X