Rabu, 6 November 2019 | 9:14am
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan hadir pada Progran Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Warung Nelayan Penerok, Pontian malam tadi. - Foto FB Wee Jeck Seng

Jangan melampaui batas ketika berkempen - Mat Hasan

PONTIAN: Semua pihak diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur perkauman sepanjang 14 hari kempen bagi mengelakkan masyarakat, terutama di Tanjung Piai hidup berpecah belah selepas Pilihan Raya Kecil (PRK).

Berkempen melampaui batas perlu dielakkan tambahan pula ia cuma beberapa hari, sedangkan kesannya akan ditanggung oleh penduduk di Tanjung Piai.

Mengingatkan perkara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata jika benar ada pihak cuba menakut-nakutkan pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Tanjung Piai, itu adalah perbuatan yang sama sekali tidak beretika.

“Yang saya khuatir, menteri pun kadang-kadang bercakap perkara melampaui batas. Membawa isu perkauman ini tidak baik.

“Pilihan raya (Tanjung Piai) sekejap sahaja, 14 hari kita kempen. Lepas ini penduduk Malaysia, penduduk Tanjung Piai akan hidup seperti satu keluarga yang besar, penduduk Malaysia akan hidup sampai bila-bila.

“Apakah (kerana) kita nak menang, kita akan menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan negara yang sudah terbina selama ini?” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Warung Nelayan Penerok di sini, malam tadi.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) bersama calon Barisan Nasional, Wee Jack Seng (tiga dari kanan) berjumpa dengan orang ramai, di Kampung Serkat pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tanjung Piai, PRK DUN Tanjung Piai, semalam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Mohamad berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai video ucapan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chiao, Kukup Laut, dalam satu perjumpaan tertutup bersama guru di sekolah itu yang tular di laman sosial.

Ekoran penularan video itu, Pemuda BN membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian kerana kenyataan Salahuddin itu didakwa berbaur perkauman dan boleh memudaratkan keselamatan negara.

Bagaimanapun, Salahuddin semalam mempertahankan kenyataannya yang didakwa pembangkang sebagai rasis dan bertentangan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut Salahuddin kenyataan beliau pada sesi tertutup di SJKC Pei Chiao itu adalah peringatan supaya PAS dan UMNO berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama melampau.

Beliau menegaskan, keadaan huru-hara boleh berlaku jika parti politik serta kumpulan tertentu memainkan sentimen perkauman, membudayakan amalan takfiri serta menuduh kumpulan yang tidak sehaluan sebagai munafik.

Berita Harian X