Ahad, 3 November 2019 | 5:20pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Tanjung Piai: Jentera PKR sedia penuh menangkan Karmaine

KUALA LUMPUR: Jentera kempen PKR akan turun dengan sepenuh kekuatan bagi membantu memenangkan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan persiapan jentera parti berada dalam keadaan cukup bersedia untuk berkempen bagi membantu PH mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.

“Persiapan (jentera) PKR lancar. Kita akan turun (berkempen) dengan kekuatan penuh,” katanya kepada media selepas berucap menutup Persidangan Masa Depan Digital anjuran Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Dr Wan Azizah mengingatkan jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai tidak leka dan mengambil mudah untuk membantu kemenangan Karmaine.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN), GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon Bebas.

Selain Karmaine, calon yang bertanding ialah wakil GERAKAN, Wendy Subramaniam; Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN); calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok;Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar.

PRK ini adalah yang kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada PRU-14 yang mewakili PH apabila memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS, Nordin Othman (2,962 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November ini sebagai hari mengundi manakala 12 November pengundian awal.

PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Amanah IIIT berharap kerajaan dapat menangani masalah kemiskinan dan jurang kekayaan antara rakyat dengan mewujudkan kaedah sistematik susulan perkembangan pesat ekonomi digital.

“Pemikiran kreatif perlu digerakkan untuk melakukan reformasi terhadap sistem menangani kadar kemiskinan rakyat termasuk di bandar yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Berita Harian X