Ahad, 3 November 2019 | 12:16pm
CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kanan) menyematkan lencana parti kepada pengunjung di sebuah restoran ketika melakukan lawatan di Pekan Nenas, Pontian. NSTP/Hairul Anuar Rahim
CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kanan) menyematkan lencana parti kepada pengunjung di sebuah restoran ketika melakukan lawatan di Pekan Nenas, Pontian. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pasar Pekan Nanas tumpuan calon

PONTIAN: Pasar pagi Pekan Nanas dekat sini, menjadi lokasi pertama beberapa calon memulakan kempen hari kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pasar yang dibuka seawal jam 7 pagi itu kerap menjadi tumpuan semua kaum, sekali gus dilihat medan terbaik untuk calon bertemu pengundi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, dilihat tiba di pasar itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum bersalaman dengan peniaga dan pengunjung.

Beliau turut mengambil kesempatan bertemu pengundi di deretan kedai berhampiran pasar terbabit dan jentera BN turut membuka lori ceramah bergerak di laluan masuk ke pasar terbabit untuk berkempen.

Calon GERAKAN, Wendy Subramaniam, tiba kira-kira jam 7.45 pagi dan meluangkan masa setengah jam berjumpa pengundi di kawasan terbabit.

Ini disusuli calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, yang bertemu pengundi sekitar pasar itu kira-kira jam 10 pagi.

Tiga lagi calon iaitu Datuk Dr Badrulhisham Abdul Azis daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar, mempunyai program berlainan.

Berita Harian X