PONTIAN: Pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ditutup jam 10 pagi selepas sejam dibuka sejak 9 pagi tadi.
Setakat ini, seramai enam calon menyerahkan borang pencalonan termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon GERAKAN, Wendy Subramaniam.
Turut menyerahkan borang pencalonan ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz.
Dua calon Bebas ialah Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar.
Bagaimanapun keputusan senarai calon yang layak bertanding dijangka diketahui pada jam 10.30 pagi ini di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Pada PRU14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.
PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.