Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:18pm
DATUK Dr Dominic Lau. - Foto Saddam Yusoff
DATUK Dr Dominic Lau. - Foto Saddam Yusoff

Tanjung Piai medan pelbagai ujian bagi GERAKAN

KUALA LUMPUR: GERAKAN yang pertama kali bertanding selepas keluar daripada BN menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai medan menguji sokongan rakyat terhadapnya.

PRK itu juga dianggap menguji kekuatan ahli serta jentera parti yang ada untuk persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang selain mengukur kesepaduan ahli yang berbilang kaum.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, penyertaan parti itu sebagai ujian kepada parti di samping membuka mata semua rakyat untuk mengenali dan memahami misi dan matlamat sebenar GERAKAN yang sekian lama bertapak dalam politik negara.

“PRK Tanjung Piai adalah satu cabaran besar untuk perjuangan kali ini kerana tidak lagi berada di bawah naungan Barisan Nasional (BN) sejak tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan mengulas penyertaan GERAKAN dalam PRK Tanjung Piai, hari ini.

Dengan penyertaan GERAKAN pada pilihan raya itu, ramai menjangka parti itu akan memecahkan undi untuk Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN) yang bakal mengumumkan wakil mereka malam ini.

Mengulas mengenai pemilihan Timbalan Setiausaha Agung Nasional GERAKAN, Wendy Subramaniam sebagai calon PRK Tanjung Piai, katanya, Wendy yang juga seorang peguam adalah calon terbaik dipilih untuk mewakili parti itu berdasarkan kewibawaannya.

Malah, beliau percaya dengan kewibawaan itu serta usianya yang masih muda, Wendy dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dengan baik jika dipilih oleh pengundi di Tanjung Piai.

“Oleh itu, saya berharap pilihan raya kali ini pengundi buka mata dan buat pilihan dengan betul untuk Tanjung Piai. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali di kawasan itu.

“Sebagai Presiden Parti Gerakan Rakyat, saya mahu Wendy Subramaniam kekal bersemangat dan cekal bertanding di Tanjung Piai. Jangan mudah lemah dengan pihak lawan,” katanya.

Berita Harian X