Rabu, 30 Oktober 2019 | 2:13pm

Tanjung Piai: PAS sediakan calon simpanan

PONTIAN: Ketika PAS sebelum ini berikrar menyokong sesiapa saja calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, PAS Johor pula diarah menyediakan calon simpanan menjelang penamaan calon pada Sabtu ini.

Bagaimanapun sumber parti itu memberi alasan calon simpanan itu adalah sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ jika berlaku perkara luar jangka termasuk pembatalan calon saat akhir atas sebab teknikal.

Sumber berkata, PAS sedang menyediakan calon seperti diarahkan dan sudah mengenal pasti ahlinya yang layak serta berwibawa bagi dicalonkan pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

“PAS sedang bersiap-sedia dan calon simpanan sudah diarah bersedia sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.

“Segala kemungkinan boleh berlaku dan tiada yang mustahil apatah lagi jika berlaku isu teknikal membawa kepada pembatalan calon.

“Kita tidak mahu isu teknikal menjejaskan peluang calon dan tidak rela memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi BH.

Sejak semalam ura-ura PAS Johor menurunkan calon pada PRK Parlimen Tanjung Piai hangat diperkatakan jentera parti politik serta pengundi di Tanjung Piai.

Ditanya sama ada PAS Johor akan mencalonkan juga calonnya jika pencalonan calon rasmi BN diterima, sumber berkenaan enggan mengulas lanjut.

“Kami diarahkan menyediakan calon simpanan sahaja. Jika terdapat arahan lanjut pada hari penamaan, ia hanya boleh diputuskan kepemimpinan tertinggi parti sahaja, ” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah pilihan raya pertama diadakan selepas PAS dan UMNO memeterai pakatan dinamakan Muafakat Nasional baru-baru ini.

Berita Harian X