Rabu, 30 Oktober 2019 | 12:58pm
Karmaine mempertahankan kelulusannya sebagai bekas arkitek walaupun dipertikaikan beberapa pihak. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sila semak dengan Senat UiTM - Karmaine

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, mempertahankan kelulusannya sebagai bekas arkitek walaupun dipertikaikan beberapa pihak.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, berkata Diploma lanjutan seni binanya adalah setara dengan Ijazah Sarjana Muda dan diiktiraf industri pekerjaan termasuk kerajaan dan swasta.

“Namun memang benar nama saya tidak disenaraikan dalam laman sesawang Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) kerana saya tidak mengambil peperiksaan untuk ditauliahkan sebagai arkitek kerana tidak pernah membuka firma sendiri.

“Sebaliknya saya bekerja bermula daripada pembantu teknik sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai arkitek bersama kerajaan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan syarat perjawatan tidak memerlukan saya mengambil peperiksaan untuk ditauliahkan sebagai arkitek,” katanya kepada BH.

Beliau berkata dakwaan pemalsuan kelulusan itu tidak berasas dan hanya mahu dijadikan isu menjelang PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Alhamdulillah, terima kasih kerana mengambil berat namun kelulusan saya yang mempunyai Diploma Lanjutan dalam bidang seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah sahih dan ia boleh dirujuk kepada Senat UiTM bagi pengesahan.

Karmaine (duduk, tiga dari krii) hadir pada majlis sumbangan asnaf TEKUN di Pejabat Penyelaras DUN Kukup, dekat Pontian, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sumbangan asnaf Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, dekat sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Najwa Halimah Ab Alim.

Yang turut hadir, Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang.

Semalam, ada pihak menerusi media sosial mempertikaikan kelulusan Karmaine sebagai arkitek kerana kononnya namanya tidak ada dalam pangkalan data LAM.

Berita Harian X