Selasa, 29 Oktober 2019 | 4:18pm
KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di Parlimen, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PRK Tanjung Piai, ARMADA tetap sokong 'calon tua' PH

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong ‘calon tua’, Karmaine Sardini, yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata usia Karmaine, 66, tidak menjadi isu bagi ARMADA kerana Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai itu seorang yang rajin dan kuat bekerja.

“ARMADA dan Pemuda PH beri sokongan penuh kepada Karmaine, sama seperti barisan kepimpinan veteran memberi sokongan penuh kepada calon muda ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya sendiri mengenali Karmaine. Beliau seorang yang kuat bekerja, seorang imam dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ibu saya bekerja sebagai guru serta diketahui seorang yang sangat rajin dan alim.

“Saya berpendapat ini adalah penilaian menyeluruh yang diambil kira kepimpinan parti dalam mencalonkan beliau di PRK Parlimen Tanjung Piai,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa bukan calon muda atau individu berusia 18 tahun diketengahkan pada PRK Parlimen Tanjung Piai, yang akan diadakan pada 16 November depan.

Mengulas lanjut, Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, Karmaine bukan individu yang melompat menyertai BERSATU selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya anak kelahiran Tanjung Piai itu antara yang terawal menyertai parti berkenaan.

Syed Saddiq berkata, Karmaine yang juga seorang ahli perniagaan, kehilangan banyak peluang berniaga kerana kelantangannya bersuara menentang salah guna kuasa dan ketidakadilan kerajaan lalu.

“Karmaine berpegang teguh pada apa yang dia percaya. Ketika tidak dinamakan sebagai calon di Tanjung Piai pada PRU-14, beliau tetap bekerja untuk parti, selain hanya kalah tipis ketika menentang Datuk Seri Ahmad Maslan bagi kerusi Parlimen Pontian,” katanya.

Berita Harian X