Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:33pm
TIMBALAN Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Wendy Subramaniam diumumkan sebagai calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini. - Foto Mustaffa Kamal
TIMBALAN Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Wendy Subramaniam diumumkan sebagai calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini. - Foto Mustaffa Kamal

GERAKAN pilih Wendy Subramaniam

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Wendy Subramaniam, diumumkan sebagai calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Pengumuman dibuat Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Wendy, 38, yang juga Naib Ketua Wanita GERAKAN, adalah peguam berasal dari Johor Bahru tetapi dibesarkan di Kulai, Johor.

Ibu kepada dua anak dan pernah bertugas sebagai akauntan bertauliah itu, adalah anak pasangan perkahwinan campur yang mana ibunya berbangsa Cina manakala bapanya berketurunan India.

Wendy fasih berbahasa Mandarin kerana bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Fong Yew dan sekolah persendirian, Fong Yew High School di Johor Bahru.

Ditemui selepas majlis itu, Wendy merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan yang menamakannya sebagai calon membawa mandat parti pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Saya akan menggunakan tempoh berkempen bagi mendekati masyarakat setempat dan berkongsi wawasan saya bagi Parlimen Tanjung Piai,” katanya.

Sementara itu, Dominic berkata, PRK Tanjung Piai adalah medan bagi parti itu kembali ke arena politik tanah air dan membuktikan ia masih mempunyai sokongan ramai pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, penyertaan GERAKAN dalam PRK Tanjung Piai adalah sebagai pilihan alternatif selain calon yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita nampak kerajaan baharu tidak menunaikan janji mereka ketika kempen PRU-14, maka kita memutuskan untuk menyertai PRK Tanjung Piai.

“PH seolah-olah tidak tidak mementingkan faktor ekonomi dan hanya bercakap soal kuasa.

“Buktinya, ramai anak Johor terpaksa ke Singapura untuk mencari kerja dan mendapatkan gaji tinggi, manakala isu pencemaran Sungai Kim-Kim juga belum tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata, GERAKAN mudah mendapat sokongan atas dasar ia dianggotai pelbagai kaum.

Katanya, enam calon dipertimbangkan dan Wendy dipilih kerana parti memerlukan orang muda serta profesional untuk menjadi wakil di Parlimen.

“Berdasarkan latar belakang pendidikan dan kerjaya serta pengalaman dalam politik, beliau memang sesuai mewakili parti kita,” katanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

Berita Harian X